.

13,104 produk PKS masuk pasaran antarabangsa

October 30, 2016, Sunday

Oleh Mastura Ismail//
KENANGAN MANIS: Hamzah (kanan) menerima cenderamata daripada ketua masyarakat di Lawas, disaksikan Awang Tengah (tiga kiri) semalam.

LAWAS: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengenal pasti sebanyak 787 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) membabitkan 13,104 produk  memasuki pasaran antarabangsa dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini.

Menterinya Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, Lawas turut mempunyai produk PKS seperti sambal ikan tahai dan garam bukit yang berpotensi diketengah di pasaran dalam dan luar negara.

Jelasnya lagi, kedua-dua produk itu boleh dijadikan satu perniagaan memberi keuntungan selain mempromosikan keunikan bandar Lawas itu sendiri.

“Sambal ikan tahai dan garam bukit satu jenama istimewa kerana boleh mempromosikan Lawas sebagai kawasan yang mempunyai kepelbagaian budaya dan hidup harmoni dan bersatu padu.

“Melalui produk ini ia juga mampu menarik kemasukan dan kedatangan pengunjung luar ke Lawas,”katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Karnival Keusahawan, Kepenggunaan dan Francais Komuniti 2016 di Taman Awam Lawas semalam.

Turut hadir Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan,Timbalan Menteri  KPDNKK Datuk Henry Sum Agung, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang,  Ketua Setiausaha KPDNKK Malaysia Datuk Sri Jamil Salleh Zainudin, Residen Limbang Maria Hasman, Pengarah KPDNKK Negeri Datuk Stanley Tan, dan kenamaan lain.

Hamzah berkata lagi, usahawan Lawas perlu mengambil peluang memikirkan cara memasar produk yang mampu memberi pulangan pendapatan kepada peniaga.

Jelasnya lagi, program yang diadakan di Lawas merupakan karnival pertama yang diadakan di negeri ini.

Justeru, beliau mahu golongan usahawan dan masyarakat setempat memanfaatkan peluang dengan menghadiri pelbagai program yang dianjurkan termasuk ceramah, program bual bicara dan pameran perniagaan dianjur KPDNKK dan agensi di bawahnya.

Katanya lagi untuk menjadi usahawan berjaya mereka perlu mempunyai ilmu dan kemahiran yang diperlukan untuk bersaing di peringkat global.

Terdahulu, Awang Tengah berkata KPDNKK mempunyai fungsi dan peranan penting dalam usaha meningkatkan kesejahteraan dan pendapatan rakyat dalam bidang keusahawanan, koperasi sekali gus  menangani kos sara hidup yang semakin meningkat.

Kerajaan, katanya, berusaha untuk menangani pelbagai cabaran dalam menangani kos sara hidup yang meningkat.

“Kerajaan melalui KPDNKK berjaya untuk menangani kos sara hidup yang meningkat,” ujarnya.

Sarawak, jelas beliau lagi, turut menumpukan kepada sektor perindustrian, selain menarik kemasukan pelabur asing.

“Kita bukan saja melihat pelaksanaan projek mega tetapi turut membangunkan PKS kerana sektor ini penyumbang terbesar terhadap pembangunan ekonomi negara termasuk di Sarawak,” jelasnya.

Pada majlis itu Hamzah turut mengumumkan geran kerajaan bernilai RM5,000 kepada lapan koperasi termasuk lima koperasi di Lawas dan tiga dari Sabah.
Share on Google Plus

About 2win

0 comments:

Post a Comment