Satu kerusi untuk calon daripada kaum minoriti akan diwujudkan pada PRN akan datang
![]() |
| SELAMAT HARI RAYA: Adenan (lima kiri) merasmikan Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri di Lawas bersama Dayang Morliah (tiga kiri), Jamilah, Awang Tengah, Asfia, Naroden, Hasbi dan kenamaan lain. |
LAWAS: Satu kerusi untuk calon daripada kaum minoriti akan diwujudkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang selepas Mahkamah Rayuan melulus persempadanan semula kawasan pilihan raya dengan pertambahan 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata keputusan itu akan memberi peluang kepada masyarakat kecil seperti suku kaum Kelabit, Bisaya, Kayan, Kenyah dan lain-lain mempunyai wakil mereka sendiri pada persidangan DUN nanti.
Beliau berkata pertambahan kerusi itu akan turut menambah peruntukan membangunkan kawasan pedalaman negeri ini dalam usaha mengimbangi pembangunan di bandar dan luar bandar.
“Oleh kerana tidak lama lagi kita akan mengadakan pilihan raya, rakyat di negeri ini perlu terus menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN).
“Sokong saya dan rakan-rakan supaya dapat berkhidmat lebih lama lagi sekali gus melaksana pelbagai pembangunan bagi memperjuang kepentingan rakyat Sarawak,”katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri di Stadium Tertutup Lawas semalam.
Turut hadir isteri Adenan, Datin Patinggi Datuk Jamilah Anu, Speaker DUN Sarawak Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan isteri Datuk Dayang Morliah Datuk Awang Daud, Menteri Muda Perancangan Sumber Datuk Mohd Naroden Majais, Ahli Parlimen Lawas Datuk Henry Sum Agong, Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota Dr Abdul Rahman Ismail, ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang serta Residen Limbang Maria Hasman.
Pada majlis itu Adenan turut mengumumkan Awang Tengah kekal sebagai penyandang kerusi DUN Bukit Sari pada PRN akan datang selain pengumuman calon bagi kerusi DUN Bukit Kota Dr Abdul Rahman Ismail, calon kerusi DUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang dan pencarian calon untuk kerusi Ba’Kelalan dalam usaha merampas semula kerusi ini untuk Barisan Nasional (BN).
“Kita juga sedang memilih calon BN boleh menang untuk mengalahkan penyandang kerusi DUN Ba’Kelalan sedia ada di bawah Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Baru Bian pada PRN akan datang,” tambahnya.
Beliau mahu kerusi DUN Ba’Kelalan dimenangi oleh calon BN agar kawasan tersebut dapat menikmati pelbagai pembangunan.
Adenan menambah lagi, dalam usaha membela kepentingan dan kebajikan rakyat, pihaknya sudah menyuarakan kepada Kerajaan Brunei untuk mewujud kawasan menangkap ikan bersama antara kedua-dua negara.
“Keputusan untuk mewujudkan kawasan menangkap ikan bersama antara kedua-dua negara amat pentig bagi mengelak nelayan tempatan ditangkap ketika memasuki perairan Teluk Brunei,” ujarnya.
Terdahulu, Awang Tengah berkata Adenan merupakan pemimpin yang pemurah dan tegas dalam menjaga kepentingan rakyat negeri ini.
“Walaupun belum sampai dua tahun beliau (Adenan) menjadi Ketua Menteri, beliau berjaya memperkenalkan dasar baharu terhadap usaha menjaga perpaduan dan kebajikan rakyat.
“Ini jelas terbukti dasar mahu membela kebajikan rakyat dan tidak mahu elemen pelampau perkauman, agama, budaya ada di Sarawak,” ujarnya.
Semua itu katanya, dilakukan kerana perasaan cinta Adenan terhadap Sarawak yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama yang menjadi identiti negeri ini.
Katanya lagi, pembangunan luar bandar yang ditekankan Adenan akan mampu memberi manfaat kepada rakyat di kawasan berkenaan daripada aspek pendidikan, kemudahan asas dan ekonomi.
Katanya masalah judi siber yang berleluasa juga perlu dipantau kerana ia akan merosakkan institusi keluarga dan masyarakat sehingga menimbulkan pelbagai gejala sosial lain.
“Adenan fokus kepada kepentingan rakyat kita,” katanya.
Awang Tengah juga mahu kebajikan warga emas di negeri ini terus dibela melalui pelaksanaan bantuan kepada mereka.
Satu kerusi baharu untuk kaum minoriti: Adenan
Oleh Mastura Ismail //

0 comments:
Post a Comment