LIMBANG: Pasukan Tiger FC muncul juara sekali gus merangkul Piala Datuk Amar Awang Tengah selepas menundukkan ABC dengan jaringan 3-2 pada perlawanan akhir kejohanan itu kelmarin.
Selaku juara mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000, piala iringan dan pingat.
Manakala pasukan ABC menerima RM3,000, piala iringan dan pingat.
Manakala Highlanders dan LBA berkongsi kedudukan tangga ketiga membawa pulang RM1,000, piala iringan dan pingat.
Hadiah pemenang disampaikan oleh Menteri Muda Kebajikan dan Kesejahteraan Masyarakat merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota, Dr Abdul Rahman Ismail.
Dalam ucapannya, beliau minta kerajaan negeri mempercepat proses memajukan Taman Awam Bandar Limbang sebagai satu lagi kemudahan baharu untuk penduduk di sini beriadah, rekreasi dan melaksanakan aktiviti sukan.
Katanya, kerajaan negeri bersetuju mewartakan Padang LDC (Limbang District Council) sebagai kawasan Taman Awam Bandar Limbang sebelum ini dimiliki LCDA (Pelita).
Presiden Persatuan Bola Sepak Limbang (LFA) itu berkata, Taman Awam Bandar Limbang jika dimajukan dilengkapi dengan kemudahan padang bola sepak dinaik taraf, trek berjalan kaki dan kemudahan sukan lain.
“Kita harap kerajaan mencari jalan memajukan Taman Awam Bandar Limbang termasuk menaik taraf padang bola sepak sebagai venue utama penganjuran Liga Limbang selain Kompleks Sukan kini dalam proses pembaikpulihan,” katanya.
Turut hadir wakil Residen Limbang Racha Balang, Timbalan Pengerusi LFA Alidin @ Brahim Tawar, Setiausaha Kehormat LFA, Abdul Ajis Kon Mohd Ghazali dan jawatankuasa tertinggi LFA.
Dr Abdul Rahman turut berterima kasih kepada jawatankuasa pertandingan yang komited menganjurkan Liga Limbang yang berkembang dari semasa ke semasa.
Katanya, Limbang mempunyai enam liga, sejak dianjurkan 2010 termasuk Liga Super, Premier, FA, Piala Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Piala Veteran dan Liga Junior bermula tahun ini.
“Kemajuan Liga Limbang dapat memberi peluang kepada pemain-pemain merasai suasana bermain mengikut standard ditetapkan sekali gus dapat menangani masalah sosial.
“Pada masa sama kita dapat melahirkan pemain-pemain pelapis serta memberi peluang kepada Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) mencari pemain- pemain untuk beraksi di peringkat negeri,” katanya.
Selain hadiah kepada pemenang, beliau turut menyampaikan geran kerajaan sejumlah RM75,000 kepada jawatankuasa pertandingan Liga Limbang bagi edisi 2016-2017.
Subscribe to:
Post Comments
(
Atom
)

0 comments:
Post a Comment