Perangi seludup balak, judi siber dan rasuah
LAWAS: Kerajaan negeri mengisytihar perang habis-habisan terhadap kegiatan penyeludupan balak, judi siber dan aktiviti tidak bermoral lain untuk memastikan Sarawak negeri bersih dan dicontohi.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata, kerajaan negeri komited dan serius memerangi sindiket mencuri dan penyeludupan kayu balak haram.
Jelasnya, pegawai penguat kuasa berjaya merampas bertan-tan kayu balak menyebabkan kumpulan penyeludup menanggung kerugian besar.
“Kita mengisytihar perang dengan mereka yang mencuri, menyeludup balak dan menebang pokok, berperang dengan aktiviti judi siber yang masih aktif di Limbang dan Lawas,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pesta Lawas dan Coop Fest Seborneo 2014, Satu Daerah Satu Industri di sini, semalam.
Hadir sama ialah isteri Adenan Datin Patinggi Datuk Jamilah Anu, Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, isteri Awang Tengah Datuk Dayang Morliah Awang Daud, menteri-menteri muda, Ahli Parlimen Lawas Datuk Henry Sum Agung, Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah dan kenamaan lain.
Adenan berkata, aktiviti penguatkuasaan dan operasi bersepadu yang giat dijalankan sebelum ini berjaya merampas dan menangkap tiga kumpulan penyeludup disyaki dalang melakukan kegiatan itu.
Beliau turut memberi jaminan akan ada lagi kumpulan penyeludup lain ditangkap dalam tempoh terdekat.
Mengulas lanjut mengenai kegiatan judi siber, Adenan menegaskan, program pembersihan judi siber sudah dilakukan di Kuching sehingga menjadikan ibu negeri bebas kegiatan itu.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri akan terus meningkatkan pembersihan aktiviti judi siber di beberapa bandar termasuk Limbang dan Lawas.
“Saya tidak akan puas hati jika belum menghapuskan sepenuhnya aktiviti judi siber terutama di Limbang dan Lawas. Kita tidak mahu Sarawak terjejas kerana judi siber. Jangan jadikan Sarawak lubuk judi siber,” tegasnya.
Adenan juga berkata, operasi penguatkuasaan aktiviti karaoke di premis hiburan akan dipantau termasuk premis dibuka sehingga lewat malam melebihi waktu ditetapkan bagi mengelak kegiatan tidak bermoral.
Katanya lagi, kerajaan negeri turut menangani kegiatan mencuri kelapa sawit termasuk memberi arahan kepada pengusaha kilang agar tidak membeli kelapa sawit curi.
“Arahan sudah diberi kepada pengusaha kilang sawit agar tidak membeli kelapa sawit curi bagi mengekang kegiatan curi ini daripada berterusan,” katanya.
Beliau juga memberi tumpuan serius terhadap kegiatan pencerobohan nelayan di laut dengan mengarahkan anggota perhutanan, PDRM dan agensi penguat kuasa memantau kegiatan itu.
“Manakala untuk menghapuskan rasuah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah diarah memantau pegawai kerajaan yang cenderung kegiatan rasuah.
“Kegiatan tidak bermoral ini tidak harus berleluasa bagi meletakkan nama Bumi Kenyalang sebagai negeri bersih dan contoh terbaik di Malaysia dan negeri bebas rasuah,” katanya lagi.
Mengulas mengenai Pesta Lawas, Adenan berkata pesta yang diadakan dalam skala besar di Lawas mampu membangunkan sektor pelancongan, riadah, perniagaan dengan kedatangan pelancong sekali gus mencerminkan Sarawak sebagai lokasi harmoni dan mesra satu sama lain walau pelbagai etnik.
“Sarawak unik meskipun didiami pelbagai kaum, namun mereka hidup bersama, maju jaya satu sama lain,” katanya.
Tarikh Terbit: Ahad 23 November 2014

0 comments:
Post a Comment