.

Peruntukan RM217 juta untuk 16 projek air Sarawak

#Sinar Harian /28 Januari 2015

KUCHING - Sarawak mendapat peruntukan berjumlah RM217 juta sehingga bulan ini untuk melaksanakan 16 projek rawatan air dan pembetungan di seluruh negeri itu, kata Timbalan Menteri Tenaga, Teknoloji Hijau dan Air, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata, untuk tujuan tersebut, kerajaan pusat telah memperuntukkan RM177 juta di bawah Rancangan Malaysia ke-10 manakala bakinya disediakan oleh kerajaan negeri.

Beliau berkata, daripada jumlah projek tersebut, dua projek, masing-masing satu di Trusan dan Sri Aman telah disiapkan.

"Projek lain adalah di peringkat pelaksanaan atau di peringkat reka bentuk," katanya kepada pemberita selepas melawat Loji Rawatan Air Batu Kitang di sini hari ini.

Menurutnya projek menaik taraf Loji Rawatan Air Batu Kitang menelan belanja hampir RM190 juta dan merupakan loji terbesar di bandar raya ini dengan membekalkan hampir 98 peratus keperluan bekalan air.    

Mengenai pembinaan Empangan Bengoh berharga RM300 juta di sini, Mahdzir berkata ia akan disiapkan menjelang tahun depan dan ia dapat membantu mengurangkan masalah banjir di sini.

Katanya lawatan beliau ke negeri ini adalah bagi membincangkan keperluan projek loji rawatan air dan pembetungan dalam Rancangan Malaysia ke-11.

Terdahulu, beliau menyampaikan sumbangan barangan makanan kepada mangsa banjir di enam buah kampung di kawasan Batu Kitang. -Bernama
Share on Google Plus

About 2win

0 comments:

Post a Comment