.

Polis gempur premis perniagaan dijadikan ‘port’ perjudian

LAWAS: Polis berjaya membongkar dua premis perniagaan dijadikan ‘port’ aktiviti perjudian ‘Pai Gow’ dan judi siber dalam dua serbuan mengejut di Jalan Sloating di sini, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Lawas DSP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad yang mengetuai serbuan itu berkata kedua-dua premis itu dipercayai digunakan sebagai ‘port’ perjudian ‘Pai Gow’ dan judi siber.

Katanya dalam serbuan pertama sekitar jam 1 pagi semalam di tingkat satu premis itu, polis menjumpai pelbagai peralatan perjudian terbabit.

“Kami berjaya merampas pelbagai jenis cip bertanda, 32 biji Pai Gow dan 16 biji Pai Gow, kertas pelbagai warna dan angka, sembilan biji dadu, dua batang pen, kerusi dan meja digunakan untuk perjudian itu,” katanya.

Abang Zainal berkata dalam serbuan kedua di kawasan sama sekitar jam 1.30 pagi, polis merampas pelbagai peralatan komputer disyaki mengandungi perisian judi siber.

“Antara yang dirampas termasuk lima unit monitor, lima unit CPU, lima unit tetikus dan pelbagai kabel,” ujarnya.

Beliau memberitahu, tiada tangkapan dibuat dalam dua serbuan itu namun semua barang rampasan yang dibawa ke balai disiasat di bawah Seksyen 6 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.


Tarikh Terbit: Selasa 3 Februari 2015
Share on Google Plus

About 2win

0 comments:

Post a Comment