.

Adenan: "Tidak boleh berkompromi"

KUCHING: Kerajaan Negeri terpaksa bertegas dan tidak boleh berkompromi dengan beberapa polisi Persekutuan untuk memastikan hak rakyatnya terbela serta tidak ketinggalan arus pembangunan.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata, beliau sudah menyuarakan rasa ’kurang senang’ rakyat terhadap polisi tertentu yang menyebabkan Sarawak masih jauh terkebelakang berbanding negeri-negeri di Semenanjung.

"Saya masih boleh bertolak-ansur jika Sarawak ketinggalan 10 atau 20 tahun, tetapi polisi pendidikan hari ini menyebabkan kita masih ketinggalan berbanding Semenanjung Malaysia selepas separuh abad.

"Mana mungkin saya masih bersabar dengan kejadian sekolah runtuh dalam sungai, tiada kemudahan elektrik dan air bersih serta pelajar terpaksa meredah jalan berlumpur serta belajar dalam kelas yang serba kekurangan," katanya dalam Majlis Perasmian Persekutuan Perniagaan Sarawak (SBF) di sini, semalam.

Justeru, beliau berharap polisi lebih berkesan dapat dilaksana agar lebih banyak sekolah moden yang baharu boleh dibina di negeri ini, demi masa depan generasi akan datang. Selain mempersoalkan polisi pendidikan, Adenan turut menggambarkan berlaku ’kepincangan’ dalam industri cari gali minyak dan gas di kawasan perairan Sarawak. "Kita juga tidak boleh bertoleransi terhadap aktiviti cari gali minyak dan gas.


Rakyat dilihat hanya sekadar ’pemerhati’. Sepatutnya beri peluang kepada anak Sarawak menjawat jawatan penting carta organisasi Petronas. "Jangan beri alasan tiada anak Sarawak yang layak dilantik jawatan penting selepas Petronas sudah beroperasi mengaut hasil minyak dan gas lebih 40 tahun di perairan Sarawak," katanya sambil menambah, tindakan membekukan permit pekerja luar diharap mampu memberi peluang kepada anak tempatan menyertai industri minyak dan gas.


Bagaimanapun, Adenan gembira dengan kerjasama pengurusan baharu organisasi Petronas yang dilihat lebih terbuka selepas rundingan antara Kerajaan Negeri dengan Persekutuan, sebelum ini.
Sementara itu, pihak swasta digalak mengadakan kerjasama dalam sektor pertanian komersial yang berpotensi maju serta mendapat permintaan tinggi pasaran antarabangsa. "Selain tanaman kelapa sawit, sektor swasta mungkin boleh mengusaha tanaman nanas secara komersial kerana Sarawak berupaya menjadi pengeluar nanas berkualiti. Sarawak bersedia menyediakan tapak untuk pembangunan industri buah-buahan," tambahnya.


TAHNIAH... Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem menyampaikan sijil anugerah kepada salah seorang penerima dalam Majlis Perasmian Persekutuan Perniagaan Sarawak di Kuching, semalam. Foto ANDRE OLIVEIRO<

Share on Google Plus

About 2win

0 comments:

Post a Comment