![]() |
| TERUJA: Awang Tengah (kanan) menyampaikan angpau kepada seorang warga emas kaum Cina di Lawas kelmarin. |
LAWAS: Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan mahu rakyat di negeri ini terus mengekalkan keharmonian dinikmati dengan menyuburkan semangat toleransi antara kaum, agama dan budaya.
Beliau berkata, rakyat seharusnya berasa bersyukur kerana dapat hidup dalam keadaan aman damai walaupun berbilang kaum, agama, budaya dan kepercayaan.
“Keunikan perpaduan itu menjadikan setiap perayaan dirayakan bersama dan melahirkan persefahaman yang membawa kepada kestabilan dan keamanan negeri ini,” katanya pada penyampaian sumbangan Tahun Baharu Cina kepada lebih 100 orang penerima yang terdiri daripada warga emas, ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU) di sini kelmarin.
Hadir sama Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Henry Sum Agong, Residen Bahagian Limbang Datu Maria Hasman, Pegawai Daerah Lawas Husaini Hakim, Temenggung Kadong Silo dan Pemanca Tan Yong Heng.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari itu menjelaskan bahawa keharmonian dinikmati menyumbang kepada kemajuan pembangunan sekali gus meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat.
Beliau memberitahu, perayaan Tahun Baharu Cina bakal disambut tidak lama lagi merupakan lambang pengukuhan perpaduan dan persaudaraan kalangan rakyat berbilang kaum di negeri ini.
“Malah, perayaan-perayaan disambut masyarakat pelbagai kaum di Sarawak merupakan wadah toleransi kaum, agama dan saling menghormati latar belakang pelbagai kaum,” katanya.
Awang Tengah melahirkan keyakinan kepada Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg mampu meneruskan dasar dan polisi yang dilaksanakan oleh Allahyarham Tok Nan.
Beliau mahu rakyat memberi sokongan padu kepada Abang Johari dan berharap segala polisi dan dasar mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus diberi perhatian.
“Abang Johari merupakan veteran dan orang lama yang berpengalaman luas dan mampu meneruskan perjuangan Tok Nan dengan baik,” ujarnya.
Pada majlis itu turut diadakan penyampaian geran kerajaan kepada 16 persatuan di daerah Lawas.
January 24, 2017, Tuesday

0 comments:
Post a Comment