.

Sarawak perlu banyak dana selesai masalah bekalan air

 Menteri Muda Bekalan Air, Datuk Roland Sagah berkata daerah Bau dan Lundu bukan satu-satunya tempat mengalami tekanan air rendah serta kering.

 Malah menurut Sagah, masalah sama turut dihadapi oleh pengguna dari lain-lain tempat seperti di sepanjang Jalan Kuching-Serian dan beberapa kawasan lain di negeri ini.

 Antara punca utama kepada permasalahan ini ialah kebocoran pada penyambungan paip utama lama menyebabkan gangguan bekalan air.

 Justeru katanya, langkah paling efektif untuk menyelasaikan masalah ini adalah dengan menggantikan paip lama dengan yang baharu.

 “Ini sudah pasti akan memerlukan banyak dana,” kata Sagah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat.

 Tambah Sagah, peruntukan RM129 juta daripada persekutuan diumumkan oleh Perdana Menteri hanya akan membantu menyelesai sebahagian daripada masalah bekalan air dihadapi oleh rakyat negeri ini.

 Katanya, terdapat banyak lagi projek di bawah pelan utama negeri bagi bekalan air perlu dilaksanakan seluruh Sarawak yang memerlukan dana besar.

 “Terdapat juga beberapa penyambungan paip dalam pekan dan bandar terlalu tua dan perlu diganti kerana ia bukan sahaja menyebabkan kerugian kepada pendapatan kerajaan tetapi juga mengganggu pembekalan air kepada pengguna,” katanya.

 Dalam pada itu, Menteri Kemudahan Awam Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom sebelum ini berkata kerajaan memerlukan kira-kira RM700 juta untuk menyelesaikan masalah bekalan air dan tekanan air rendah di Serian, Bau dan Lundu.

 Peruntukan besar ini diperlukan bagi membangunkan  punca utama air bagi menggantikan yang lama di seluruh negeri dalam tempoh lima tahun ini.  

19/2/2017 - Utusan Borneo
Share on Google Plus

About 2win

0 comments:

Post a Comment